Petaling Jaya: Bukan mahu mencipta rekod sebaliknya penuntut Ijazah Sarjana Muda Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Hafiz Abdul Hamid berniat mahu melaksanakan misi berbasikal secara solo untuk mengumpul dana bagi membantu individu kurang bernasib baik.
Misi ‘Kayuhan Hafiz’ sejauh 5,000 kilometer (km) itu yang bermula pada 1 Oktober hingga 31 Disember lalu dapat direalisasikan apabila Muhammad Hafiz, 21, berjaya mengumpul RM150,000, melebihi RM100,000 yang menjadi sasaran awalnya.
Kesemua wang itu kemudiannya disalurkan kepada Yayasan Anak-Anak Yatim Wardatul Jannah.
Muhammad Hafiz yang juga anak ketiga daripada lima beradik berkata, misi kayuhan amal itu julung kali diadakan dan idea untuk melakukannya tercetus secara spontan selepas melihat inisiatif pernah dilakukan kumpulan berbasikal lain.
“Misi kayuhan itu membabitkan kayuhan sejauh 2,500 km di sekitar Semenanjung bermula dari rumah saya dekat Cheras dan kemudiannya ke Melaka, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kota Tinggi dan Mersing di Johor; Kuantan, Pahang; Kerteh dan Tasik Kenyir di Terengganu; Kota Bharu, Kelantan; Padang Besar, Perlis; Gerik, Pengkalan Hulu dan Ipoh, Perak serta pulang semula ke Kuala Lumpur.
“Tamat misi kayuhan sekitar Semenanjung, saya teruskan pula mengayuh basikal di sekeliling rumah bagi menghabiskan baki 2,500 km,” katanya ketika ditemui Harian Metro selepas majlis penyerahan sumbangan di Yayasan Anak-Anak Yatim Wardatul Jannah di Kota Damansara di sini, baru-baru ini.
Replika cek sumbangan itu diserahkan kepada Pemegang Amanah Yayasan Anak-Anak Yatim Wardatul Jannah Datin Ani Mawar Abdullah yang juga pengarah projek misi itu.
Bercerita lanjut, Muhammad Hafiz tidak menafikan berdepan beberapa cabaran sepanjang melakukan misi kayuhan itu yang membuatkannya hampir berputus asa.
Bagaimanapun, Muhammad Hafiz bersyukur kerana dapat mengharunginya berkat sokongan keluarga, rakan dan individu yang membantunya dalam usaha untuk menyempurnakan misi berkenaan yang turut menjadi latihan buatnya untuk menempah slot menyertai Sukan Malaysia (Sukma).
“Saya memang ada lakukan persediaan sebelum memulakan misi kayuhan itu bagi memantapkan stamina dan bersiap sedia daripada segi mental.
“Bagaimanapun, cabaran ketika menjalankan misi kayuhan lebih sukar dan pernah sekali, saya hampir mengalah kerana basikal rosak selain hujan setiap hari disebabkan sudah masuk musim tengkujuh ketika itu.
“Memikirkan semula niat asal, saya teruskan juga dan berterima kasih kepada rakan, saudara mara serta mereka yang membantu memberi tempat bermalam selain makanan sepanjang menjalankan misi.
“Alhamdulillah, hasrat saya untuk mengumpul dana tercapai dan berharap sumbangan diberi dapat memberi manfaat kepada anak yatim dan asnaf terbabit,” katanya yang kini menuntut di semester tiga dekat UiTM kampus Sungai Buloh, Selangor.
Sementara itu, Ani Mawar berkata, beliau berbangga dengan kejayaan Muhammad Hafiz menyempurnakan misi berkenaan walaupun berdepan cabaran.
Menurutnya, pihaknya turut menyambut baik inisiatif Muhammad Hafiz membantu yayasan menerusi misi kayuhan amal.
“Lazimnya, yayasan akan menganjurkan malam amal bagi mengumpul dana untuk menampung perbelanjaan 21 penghuni, pengurusan dan lain-lain lagi.
“Bagaimanapun, aktiviti seumpama itu tidak dapat dilaksanakan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini jadi kita teruja apabila Muhammad Hafiz tampil dengan idea untuk membantu yayasan menerusi misi kayuhan amal.
“Kami sempat lakukan perbincangan dan bersetuju dengan misi berkenaan kerana ia sesuatu yang berbeza. Yayasan cuba bantu Muhammad Hafiz dengan menghebahkan perkembangan misi kayuhan amalnya menerusi laman sosial supaya mereka yang berada di lokasi kayuhannya dapat membantu seterusnya menyumbang mengikut kemampuan mereka,” katanya.
Sumber: Harian Metro